Monday, October 15, 2012

Memori di perantauan (Matu)

Assalamualaikum..sudah begitu lama tidak update blog ini tetiba rasa gatal tangan nak update...bukan ape, sebenarnya boring tak tau nak buat apa walaupun hakikatnya assignment cukup banyak sekali..hehe..

Sekarang ni dah bulan Oktober. Tinggal 2 bulan lagi kita akan menghabiskan tahun 2012. Begitu cepat masa berlalu. rasa baru jer masuk tahun 2012. Tahun ini begitu unik bagiku kerana menghabiskan umur di perantauan yang tidak sesekali ku duga tempatnya. Tempat yang kumaksudkan adalah di Matu, Sarawak. Aku sendiri pun tidak terfikir akan tercampak ke sini. Ceritanya bermula masa mula-mula mendaftar diri di IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan pada hujung Januari lalu. 

Masa di IPGKKB

Setelah mengharungi sesi orientasi selama 4 hari dan bersambung dengan kursus induksi selama 4 hari, di hari terakhir  kami diumumkan penempatan masing- masing. Sebahagian daripada kami dihantar ke Sabah dan Sarawak termasuk aku. Pensyarah kami  dan kami sendiri berasa hairan dengan keputusan tersebut kerana sebelum ini hanya dihantar dalam semenanjung sahaja sekiranya mendaftar di IPG semenanjung. Tetapi kami pasrah. 

Kami beli tiket secara berkumpulan disebabkan kali pertama naik kapal terbang, masing- masing tidak tahu cara membeli. Tanggal 15 Februari 2012 (malam) kami berlepas dari KB ke LCCT dan bermalam di sana. Keesokannya kami berlepas ke penempatan masing-masing. Ada yang ke Kuching, ada yang ke Sibu dan ada juga yang ke Kota Kinabalu, Sabah. Masa tu tinggal kami berenam sahaja yang ke Sibu. Tiba di Sibu, kami terkial- kial tak tahu nak hala kemana. Kami dimaklumkan yang JPN Sarawak akan menghantar wakil untuk membawa kami ke sekolah masing- masing tetapi puas kami menunggu tiada siapa yang jemput kami. Dah la first time datang ke Sarawak. Akhirnya kami buat- buat pandai sendiri. Di situ kami berpecah lagi. Ada yang ke Sarikei, ada yang ke Mukah dan tinggal kami bertiga untuk ke Daro.

Bot ekspres dari Sibu ke Daro mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah

Kami bertiga menaiki teksi yang tambang berharga RM35 untuk ke jeti bot express yang jaraknya mengambil masa selama 30 minit lebih kurang. Kemudian kami menaiki bot panjang untuk ke Daro. Pada mulanya agak takut juga bila melihat sungai yang begitu luas tetapi bila dah biasa perasaan takut pun dah takder lagi. Bot ekspres panjang ini terdapat aircone didalamnya..wah sejuknya sekurang-kurangnya enak tidur..hehe..Dua tiga kali aku tidur dan bangun tapi tak sampai- sampai jugak.. "Masa naik tadi jam 11.30 pagi, sekarang jam 1 tengahari pun belum sampai lagi, agak-agak pukul berapa baru sampai". fikirku dalam hati. 

Lebih kurang jam 2 petang kami tiba di pekan Daro. Di sana pun kami tak tahu ke mana nak kami tuju. Tiba- tiba ada seorang akak menegur "Cikgu nak pergi mana?" (Orang disini boleh cam cikgu ke tak, mungkin tengok orang luar je terus panggil cikgu..hehe). Kemudian jawab salah seorang kawan kami "kami nak ke PPD Daro, jauh lagikah?" Oh dekat jer, boleh naik van abg tu..jawab akak itu sambil menunjuk ke arah van. Kami dihantar ke PPD Daro dengan tambang sebanyak RM 3. Di sana kami diminta berehat sementara menunggu Guru Besar masing- masing datang mengambil. Disini kami berpisah membawa haluan masing- masing. 

Sekolahku

Guru Besarku datang, di sini aku mengenali Cikgu Johari. Beliau seorang yang baik hati, peramah. Beliau membawaku ke sekolah yang terletak di Matu (lebih kurang 25km jarak dari Daro. Terkejut juga mula- mula melihat sekolah yang bakal aku mengajar tu. Masa tu banjir belum habis lagi, sekolah aku seolah- olah rumah rakit masa tu tapi unik bagiku. Aku tak pernah lihat sekolah seperti itu. Kalau zaman aku sekolah dulu, sekolahku dah berbatu tetapi di zaman 2012 ini pun masih ada yang berkayu. Betapa kita kena bersyukur kerana tempat kita lebih baik. Hari itu aku menumpang tidur di rumah kawan selama 3 hari sebelum menetap di kuarters guru di hadapan sekolahku. 



Hari pertama di sekolah aku berasa amat kekok tapi semua cikgu- cikgu di sana peramah. 8 orang guru lelaki dan 4 perempuan. Di sekolahku tak de kantin, masing- masing bawa bekal. Masa tu rasa macam sebuah keluarga baru yang aku dapat, apa tidaknya, dari Guru Besar sehingga semua staf makan sama-sama sambil berbual dan bergurau senda. Di sini jugalah aku mula belajar Bahasa Melanau dari murid- muridku sendiri. Aku catat dan jadikan 1 nota mana- mana perkataan yang aku tak tahu maksudnya. Aku cuba praktikkan sedikit demi sedikit. 

Rumah guru tempat tinggalku selama sebulan

Di siang hari aku rasa terisi hidup tapi bila tiba malam aku kesunyian kerana tinggal seorang diri di kuarters guru. Intenet takde, televisyen takde membuatkan ku rasa hidupku kosong. Takut pun ada bila tinggal seorang diri, tambah- tambah kawasan sekeliling pun gelap gelita. Yang menemani aku pun pak gad sekali sekala berbual disamping belajar Bahasa Melanau dari beliau. 

Kenangan bersama sahabat-sahabat

Hari- hari seterusnya pun aku berseorangan bertemankan sunyi menyebabkan aku teringatkan kawan- kawan seperjuangan dulu, kadang- kadang teringatkan kampung halaman sehingga rasa cam tak nak tandatangan borang perjanjian jqaf yang masa tu aku masih belum hantar lagi. Tapi aku masih ingat kata-kata Guru Besar padaku tempoh hari "Cikgu biasakan diri dulu selama sebulan, kalau dah boleh biasakan lebih sebulan baru cikgu boleh terima tinggal di sini". Aku cuba memujuk hatiku sendiri "mungkin ada hikmah Allah campakkan aku ke sini"  Hanya ayat ni yang boleh memujuk hatiku yang kesepian ini. Aku begitu yakin tentang hikmah yang akan datang dari setiap apa yang Allah tetapkan.



Hampir sebulan aku di rumah guru tersebut, kemudian aku pindah tinggal bersama kawan yang baru dikenali yang juga berasal dari Kelantan. Rasa kesunyianku sedkit terubat apabila ada teman untuk berbual-bual. Petang- petang kami bermain badminton bersama guru- guru pelbagai sekolah. Rutin tersebut diteruskan sehingga ke hari ini. Selama 8 bulan di sini aku sudah mengenali ramai orang. Dari cikgu- cikgu sekolah sampai la ke staf pejabat pos, polis, orang kampung dan kanak- kanak. tapi yang syoknyer selepas aku pindah baru lah guru- guru di situ bagitahu yang rumah guru yang aku duduki sebulan itu berpenghuni sebenarnya. Meremang bulu roma bila dengar tapi nasib baik lah aku dah pindah..huhu. Nasib baiklah juga tak ada apa- apa yang berlaku selama sebulan aku disitu.

Masa di sini, aku dikejutkan berita tentang kematian atukku pada 20 Jun 2012. Aku hanya mampu solat jenazah ghaib sahaja kerana tidak berkemampuan untuk balik ke kampung masa tu. Tahun ini juga aku berpuasa Ramadhan di Matu. aku menjadi imam di surau Kampung Sekaan Kechil bersama kawan- kawan dan murid- muridku sendiri. Perasaan masa nak raya memang paling best tahun ni, sebab aku dok jauh buat pertama kali balik raya dengan kapal terbang (nampak hebat). Kebetulan pula raya tahun ni aku bertunang lagi la happy perasaan di dada.hehe..

Bakal bapa mertua menyarungkan cincin

Rasanya cukuplah setakat ini coretan untuk kali ini..Semoga aku dapat menukilkan kisah-kisah lainnya selepas ini...Sekian, Wassalamualaikum.


Saturday, June 9, 2012

Kursus BIG


Jejaka-jejaka jqaf yang menyertai BIG siri 2 seramai 12 orang.

Saya telah mengikuti kursus Bina Insan Guru Siri kedua yang telah berlangsung pada 21- 24 Mei 2012 yang lepas. Kursus yang wajib bagi pelajar- pelajar j-QAF ini telah diadakan di Kem Alapong, Lundu, Kuching, Sarawak. Kursus yang bertempoh selama 4 hari 3 malam ini telah disertai 76 orang peserta dari IPGM Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Sarawak dan diiringi pensyarah-pensyarah maktab. Objektif kursus ini ialah untuk memberi ilmu dan pengalaman yang berguna kepada peserta mengenai peranan dalam menjadi seorang guru yang bertanggungjawab dan mempunyai kredibiliti dan memenuhi sifat-sifat yang ada pada seseorang guru.

Mengangkat peralatan yang diperlukan sebelum bertolak

Pada 21 Mei 2012, jam 7.30 pagi kami bertolak dari IPG Kampus Tun Abdul Razak ke Kem Alapong, Lundu dengan menaiki 2 buah bas. Perjalanan kami mengambil masa selama lebih kurang 2 jam. Kami tiba di sana jam 9.00 pagi dan disambut oleh ketua Kem Alapong, Tn. Hj Riduan Bin Tuah. 




Jam 11.00 peserta diminta berkumpul dalam barisan mengikut kumpulan, kemudian menyanyikan lagu “Negaraku” dan lagu negeri Sarawak “Ibu Pertiwiku”. Selepas itu, peserta diberi taklimat oleh Tn. Haji Riduan tentang penyediaan tapak mendirikan khemah serta peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di kem tersebut. Kemudian kami diberi masa untuk mendirikan khemah, membuat gajet, memasak dan sebagainya. Ini merupakan pengalaman baru bagi saya kerana sebelum ini belum pernah membuat gajet dan di sini juga saya belajar cara untuk mengikat dengan betul melalui seliaan beberapa orang yang berpengalaman di sana.

Mendirikan khemah

Aktiviti pertama ialah latihan dalam kumpulan 1 (LDK 1) pada jam 2 petang.  Di dalam LDK 1 yang dikendalikan oleh Encik Michael Ringgit ini kami berkenal- kenalan antara satu sama lain tidak kira agama ataupun bangsa. Di sini kami dapat menambah kenalan baru disamping mengeratkan lagi tali persaudaraan. Di dalam sesi ini juga kami diminta membuat pembentangan cirri- ciri guru yang baik dan guru yang tidak baik.

 Di dalam sesi LDK 2 pula kumpulan kami diberi tugas untuk menjawab persoalan tentang unsur- unsur pembinaan dinamika sekolah. Kami diminta menghantar seorang wakil untuk setiap kumpulan untuk dijadikan sebagai ahli panel di dalam sebuah forum. Ini bertujuan untuk membentuk keyakinan peserta dalam berhujah dan membuat sebarang pembentangan. Jam 8.30- 11.30 malam kami dilibatkan pula dengan sesi “Jati Diri 1”.

 Sesi ini kami diperdengarkan dengan cerita Alias dan Cikgu Sunan. Selepas itu diminta menjawab soalan –soalan berkaitan cerita tadi kemudian dibentangkan. Setelah tamat sesi ini kami diminta menyiapkan bendera kumpulan masing- masing.



Hari kedua kami dibahagikan kepada 2 kumpulan besar. Kumpulan A akan melakukan aktiviti kembara, sementara kumpulan B akan melakukan aktiviti air. Kumpulan yang ke hutan diberi taklimat tentang penggunaan kompas oleh Encik Mohd Akhir dan Haji Khambali. Kemudian kami dilepaskan pada jam 9.30 pagi ke hutan dan diminta mencari kedudukan fasilitator kami dengan menggunakan kompas.



 Di sini lah kami belajar menggunakan kompas dengan betul. Kami ditemani oleh seorang jurulatih yang mengajar cara menggunakan kompas. Walaupun begitu kami tersesat seketika kerana tersalah membaca kompas. 


Tetapi berjaya ditemui semula oleh jurulatih dan akhirnya sampailah ke destinasi yang dituju. Kemudian kami diminta untuk memasak dan solat zohor secara berjamaah. 




Setelah selesai kami berangkat pulang dengan mengusung rakan- rakan bermula dari yang tubuh bersaiz paling besar kepada yang bersaiz paling kecil dan paling ringan dengan menggunakan ponco. Di sini kami belajar bahawa sesungguhnya biarlah kita bersusah dahulu dengan segala kepayahan yang datang dan bersenang kemudian. Begitu juga dalam dunia pendidikan. Kepayahan itulah yang menjadi pengalaman berguna suatu hari nanti. Di dalam sesi ini juga dapat memupuk semangat bekerjasama sebagai satu pasukan ketika mencari arah menggunakan kompas, memasak dan mengusung rakan- rakan secara bergilir- gilir. 

Pada sebelah malam, antara jam 8.30 hingga 10.30 malam, berlangsung pula sesi “Jati Diri 2”.  Sesi kali ini lebih menguji mental kami. Kadang- kadang saya merasa tertekan dengan tekanan yang diberi oleh fasilitator tetapi memandangkan saya dan rakan- rakan sedar yang kami semua sedang belajar, jadi kenalah bersabar dan tenang. Sesi ini juga mengajar dan mendedahkan kami dengan suasana sebenar alam pendidikan nanti yang penuh dengan segala cabaran dan tekanan dari pelbagai pihak.



Di pagi hari ketiga kami bertukar aktiviti. Kumpulan yang ke hutan untuk aktiviti kembara semalam akan ke pantai untuk aktiviti air pula dan begitulah sebaliknya. Sebelum melakukan aktiviti kayak, kami diberi sedikit taklimat oleh Encik Joseph berkenaan dengan pemakaian jaket keselamatan dan ilmu pengetahuan berkaitan dengan aktiviti kayak. Selepas itu kami melakukan aktiviti “water confident” dan diajar cara terapung diri dan cara berenang terlebih dahulu untuk memberi keyakinan diri sebelum melakukan aktiviti seterusnya. 

Kemudian kami berkayak ke tengah pantai dan berkumpul membentuk rakit. Di sini kami di ajar cara untuk bertukar pasangan kayak dan sebagainya sebelum melakukan aktiviti menyelamat. Semua peserta perlu menterbalikkan kayak masing- masing dan naik semula ke atas kayak disamping bantuan rakan- rakan akan datang menyelamat. Di sini lah saya merasakan pentingnya kewujudan rakan- rakan di dalam kehidupan untuk membantu dikala kita kesusahan.


Pada waktu petang pula diadakan pertandingan memasak. Semua kumpulan bertungkus lumus menyiapkan hidangan mengikut kepakaran masing-masing sebelum dinilai oleh para juri. Jam 9 malam pula diadakan “Malam Bakat” untuk peserta-peserta menunjukkan bakat masing-masing. Ada yang buat persembahan lakonan, nyanyian, pertandingan pantun mengikut kebijaksanaan masing-masing untuk menghiburkan diri yang kepenatan seharian beraktiviti di darat dan di air. 

Di hari terakhir kami dikehendaki melakukan satu aktiviti halangan yang dinamakan “tongkat amanah”. Kami diberi sebatang kayu dan harus menjaganya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Di sini saya sedar tentang pentingnya menjaga amanah yang diberi walaubagaimanapun rintangan dan cubaan yang hadir. 

Johan pertandingan memasak & Naib johan Malam Bakat

Selepas itu diadakan majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi pemenang malam bakat dan pertandingan memasak. Setelah itu kami berkemas dan bertolak pulang.

Bersama fasilitator, Ustazah Musliha (di tengah-tengah)

Dapat saya simpulkan di sini, program ini telah mendedahkan kami dengan cabaran kerjaya seorang guru yang dipenuhi dengan onak duri dari pelbagai sudut. Program ini juga mengajar kami bekerjasama, bersepakat antara satu sama lain. Seorang guru juga perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap dan mempunyai daya pemikiran yang baik dalam menyelesaikan segala rintangan serta masalah- masalah yang mendatang.

Bergambar bersama hamper-hamper kemenangan pertandingan memasak dan malam bakat

 Selain itu, terlalu banyak pengalaman- pengalaman yang baru saya dapati daripada program ini. Pengalaman baru ketika membuat gajet, mendirikan khemah, mengusung rakan- rakan menggunakan ponco dan yang paling tidak dapat dilupakan pengalaman menterbalikkan kayak. Pada mulanya ada rasa takut, tetapi setelah terbalik kayak, saya dapat terapung di atas air. Satu kepuasan yang teramat sangat. Suatu pengalaman yang cukup-cukup manis yang tidak dapat dilupakan.  


Kenangan bersama semua peserta dan fasilitator


- BINA INSAN GURU SIRI 2. 21- 24 MEI 2012-

Thursday, May 10, 2012

PSKPP 2012: Tanjung Jol langkah kanan

Hari ini bermulanya  Pesta Sukan antara pendidik di Daerah Daro dan Matu. Kejohanan ini akan berlansung dari 10-12 Mei 2012. Antara acara yang berlangsung hari ini ialah Badminton, sepak takraw, bola sepak dan lain-lain. Acara yang menarik tumpuan ialah bola sepak.



Perlawanan pertama untuk pasukan Zon Tanjung Jol ialah menentang pasukan Tanjung Alan. Perlawanan ini diadakan di padang bola sepak SK Hijrah Badong, Daro pada jam 2.30 petang. Apa yang membanggakan pasukan Tanjung Jol berjaya membelasah pasukan lawan dengan jaringan 6-2. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat 1-1. Separuh masa kedua Tanjung Jol berjaya menambah 5 gol untuk mengutip 3 mata berharga dari perlawanan pertama peringkat kumpulan ini.

Esok pagi aku akn berentap dalam acara futsal. Team aku diundi dalam kumpulan A. Jadualnya seperti berikut:-

Perlawanan 1:  8.30am:     Tanjung Jol lawan Tanjung Manis
Perlawanan 2:  9.00am:     Tanjung Sirik lawan Tanjung Jol
Perlawanan 3:  10.30am:   Tanjung Gelang lawan Tanjung Jol


BUAT YANG TERBAIK.



Thursday, April 12, 2012

Teman baruku "QRG 3446"



Inilah temanku sekarang..haha
Alhamdulillah 19 Mac lepas aku telah mendapat teman baru di sini. Dengan adanya teman baru ini dapat juga la menghilangkan kesunyianku kerana aku hanya tinggal seorang diri di rumah guru yang diberikan oleh Guru Besar kepadaku semasa mula-mula aku datang melapor diri di sini.

Masa baru-baru beli, tak dapat nombor plat lagi...
Baru dapat no plat


Teman baru yang ku maksudkan ialah sebuah motosikal EX5 yang baru ku beli dengan harga muka sebanyak RM 1k. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memberikan kemudahan kepadaku.

Sunday, April 8, 2012

Syair Imam Syafie




Semasa berada di atas bumbung bot akibat penumpang penuh dalam perjalanan dari Sibu ke Daro yang mengambil masa selama 2 jam 40 minit. Dari Jam 1.30 tengahari sehingga pukul 4.10 petang. -Gambar hiasan.


تَعلَّمْ فَليْس المرْءُ يولَد عالِما     ليس أخو عِلْم كَمَنْ هو جاهل

وإنَّ كبيرَ القومِ لاَ عِلمَ عنده    صغيرا إذا التفّتْ عليه الجحافِل

الإمام الشافعي

 

Belajarlah, seseorang itu tidak dilahirkan dalam keadaan sedia berpengetahuan, 

Tidak sama orang yang bersaudara dengan ilmu pengetahuan dengan orang jahil tidak berilmu;

Sesungguhnya pemimpin besar kepada sesuatu kaum tapi tidak berilmu,

Dia sebenarnya kecil dan lemah tatakala dikerumuni gerombolan tentera yang ramai.



HAKIM MTQ


Alhamdulillah 28 Mac lepas, aku telah terpilih menjadi hakim Majlis Tadarus AL QURAN & Festival Nasyid 2012 peringkat zon Tanjung Jol.



Aku menjadi hakim persembahan bagi pertandingan nasyid. Peringkat daerah pula sebagai hakim simpanan sahaja..

Saturday, February 18, 2012

SK SEKAAN KECHIL

Assalamualaikum...

 Apa kabar semua..

Saya sekarang berada di Sarawak Di Daerah Daro- Matu. (rujuk peta di bawah)



Saya dipostingkan di Sekolah Kebangsaan Sekaan Kechil, Matu, Sarawak. Sekolah disini kecil jea.. Murid- murid lebih kurang 70 orang termasuk pra sekolah, guru- guru pula 14 orang kesemuanya. Hari baru hari ketiga saya di sini dan masih berasa asing. Orang disini cakap bahasa Melanau, i do not understand. Tapi takper aku nak cuba belajar jugak bahasa diorang. hehehe..

Kat bawah ni gambar- gambar sekolah saya...hehe


Jalan masuk ke kampung Sekaan Kechil.

Inilah SK Sekaan Kechil, time air pasang.





Yang kuning tu pondok jaga

OK, Sekian.