Saturday, June 9, 2012

Kursus BIG


Jejaka-jejaka jqaf yang menyertai BIG siri 2 seramai 12 orang.

Saya telah mengikuti kursus Bina Insan Guru Siri kedua yang telah berlangsung pada 21- 24 Mei 2012 yang lepas. Kursus yang wajib bagi pelajar- pelajar j-QAF ini telah diadakan di Kem Alapong, Lundu, Kuching, Sarawak. Kursus yang bertempoh selama 4 hari 3 malam ini telah disertai 76 orang peserta dari IPGM Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Sarawak dan diiringi pensyarah-pensyarah maktab. Objektif kursus ini ialah untuk memberi ilmu dan pengalaman yang berguna kepada peserta mengenai peranan dalam menjadi seorang guru yang bertanggungjawab dan mempunyai kredibiliti dan memenuhi sifat-sifat yang ada pada seseorang guru.

Mengangkat peralatan yang diperlukan sebelum bertolak

Pada 21 Mei 2012, jam 7.30 pagi kami bertolak dari IPG Kampus Tun Abdul Razak ke Kem Alapong, Lundu dengan menaiki 2 buah bas. Perjalanan kami mengambil masa selama lebih kurang 2 jam. Kami tiba di sana jam 9.00 pagi dan disambut oleh ketua Kem Alapong, Tn. Hj Riduan Bin Tuah. 




Jam 11.00 peserta diminta berkumpul dalam barisan mengikut kumpulan, kemudian menyanyikan lagu “Negaraku” dan lagu negeri Sarawak “Ibu Pertiwiku”. Selepas itu, peserta diberi taklimat oleh Tn. Haji Riduan tentang penyediaan tapak mendirikan khemah serta peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di kem tersebut. Kemudian kami diberi masa untuk mendirikan khemah, membuat gajet, memasak dan sebagainya. Ini merupakan pengalaman baru bagi saya kerana sebelum ini belum pernah membuat gajet dan di sini juga saya belajar cara untuk mengikat dengan betul melalui seliaan beberapa orang yang berpengalaman di sana.

Mendirikan khemah

Aktiviti pertama ialah latihan dalam kumpulan 1 (LDK 1) pada jam 2 petang.  Di dalam LDK 1 yang dikendalikan oleh Encik Michael Ringgit ini kami berkenal- kenalan antara satu sama lain tidak kira agama ataupun bangsa. Di sini kami dapat menambah kenalan baru disamping mengeratkan lagi tali persaudaraan. Di dalam sesi ini juga kami diminta membuat pembentangan cirri- ciri guru yang baik dan guru yang tidak baik.

 Di dalam sesi LDK 2 pula kumpulan kami diberi tugas untuk menjawab persoalan tentang unsur- unsur pembinaan dinamika sekolah. Kami diminta menghantar seorang wakil untuk setiap kumpulan untuk dijadikan sebagai ahli panel di dalam sebuah forum. Ini bertujuan untuk membentuk keyakinan peserta dalam berhujah dan membuat sebarang pembentangan. Jam 8.30- 11.30 malam kami dilibatkan pula dengan sesi “Jati Diri 1”.

 Sesi ini kami diperdengarkan dengan cerita Alias dan Cikgu Sunan. Selepas itu diminta menjawab soalan –soalan berkaitan cerita tadi kemudian dibentangkan. Setelah tamat sesi ini kami diminta menyiapkan bendera kumpulan masing- masing.



Hari kedua kami dibahagikan kepada 2 kumpulan besar. Kumpulan A akan melakukan aktiviti kembara, sementara kumpulan B akan melakukan aktiviti air. Kumpulan yang ke hutan diberi taklimat tentang penggunaan kompas oleh Encik Mohd Akhir dan Haji Khambali. Kemudian kami dilepaskan pada jam 9.30 pagi ke hutan dan diminta mencari kedudukan fasilitator kami dengan menggunakan kompas.



 Di sini lah kami belajar menggunakan kompas dengan betul. Kami ditemani oleh seorang jurulatih yang mengajar cara menggunakan kompas. Walaupun begitu kami tersesat seketika kerana tersalah membaca kompas. 


Tetapi berjaya ditemui semula oleh jurulatih dan akhirnya sampailah ke destinasi yang dituju. Kemudian kami diminta untuk memasak dan solat zohor secara berjamaah. 




Setelah selesai kami berangkat pulang dengan mengusung rakan- rakan bermula dari yang tubuh bersaiz paling besar kepada yang bersaiz paling kecil dan paling ringan dengan menggunakan ponco. Di sini kami belajar bahawa sesungguhnya biarlah kita bersusah dahulu dengan segala kepayahan yang datang dan bersenang kemudian. Begitu juga dalam dunia pendidikan. Kepayahan itulah yang menjadi pengalaman berguna suatu hari nanti. Di dalam sesi ini juga dapat memupuk semangat bekerjasama sebagai satu pasukan ketika mencari arah menggunakan kompas, memasak dan mengusung rakan- rakan secara bergilir- gilir. 

Pada sebelah malam, antara jam 8.30 hingga 10.30 malam, berlangsung pula sesi “Jati Diri 2”.  Sesi kali ini lebih menguji mental kami. Kadang- kadang saya merasa tertekan dengan tekanan yang diberi oleh fasilitator tetapi memandangkan saya dan rakan- rakan sedar yang kami semua sedang belajar, jadi kenalah bersabar dan tenang. Sesi ini juga mengajar dan mendedahkan kami dengan suasana sebenar alam pendidikan nanti yang penuh dengan segala cabaran dan tekanan dari pelbagai pihak.



Di pagi hari ketiga kami bertukar aktiviti. Kumpulan yang ke hutan untuk aktiviti kembara semalam akan ke pantai untuk aktiviti air pula dan begitulah sebaliknya. Sebelum melakukan aktiviti kayak, kami diberi sedikit taklimat oleh Encik Joseph berkenaan dengan pemakaian jaket keselamatan dan ilmu pengetahuan berkaitan dengan aktiviti kayak. Selepas itu kami melakukan aktiviti “water confident” dan diajar cara terapung diri dan cara berenang terlebih dahulu untuk memberi keyakinan diri sebelum melakukan aktiviti seterusnya. 

Kemudian kami berkayak ke tengah pantai dan berkumpul membentuk rakit. Di sini kami di ajar cara untuk bertukar pasangan kayak dan sebagainya sebelum melakukan aktiviti menyelamat. Semua peserta perlu menterbalikkan kayak masing- masing dan naik semula ke atas kayak disamping bantuan rakan- rakan akan datang menyelamat. Di sini lah saya merasakan pentingnya kewujudan rakan- rakan di dalam kehidupan untuk membantu dikala kita kesusahan.


Pada waktu petang pula diadakan pertandingan memasak. Semua kumpulan bertungkus lumus menyiapkan hidangan mengikut kepakaran masing-masing sebelum dinilai oleh para juri. Jam 9 malam pula diadakan “Malam Bakat” untuk peserta-peserta menunjukkan bakat masing-masing. Ada yang buat persembahan lakonan, nyanyian, pertandingan pantun mengikut kebijaksanaan masing-masing untuk menghiburkan diri yang kepenatan seharian beraktiviti di darat dan di air. 

Di hari terakhir kami dikehendaki melakukan satu aktiviti halangan yang dinamakan “tongkat amanah”. Kami diberi sebatang kayu dan harus menjaganya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Di sini saya sedar tentang pentingnya menjaga amanah yang diberi walaubagaimanapun rintangan dan cubaan yang hadir. 

Johan pertandingan memasak & Naib johan Malam Bakat

Selepas itu diadakan majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi pemenang malam bakat dan pertandingan memasak. Setelah itu kami berkemas dan bertolak pulang.

Bersama fasilitator, Ustazah Musliha (di tengah-tengah)

Dapat saya simpulkan di sini, program ini telah mendedahkan kami dengan cabaran kerjaya seorang guru yang dipenuhi dengan onak duri dari pelbagai sudut. Program ini juga mengajar kami bekerjasama, bersepakat antara satu sama lain. Seorang guru juga perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap dan mempunyai daya pemikiran yang baik dalam menyelesaikan segala rintangan serta masalah- masalah yang mendatang.

Bergambar bersama hamper-hamper kemenangan pertandingan memasak dan malam bakat

 Selain itu, terlalu banyak pengalaman- pengalaman yang baru saya dapati daripada program ini. Pengalaman baru ketika membuat gajet, mendirikan khemah, mengusung rakan- rakan menggunakan ponco dan yang paling tidak dapat dilupakan pengalaman menterbalikkan kayak. Pada mulanya ada rasa takut, tetapi setelah terbalik kayak, saya dapat terapung di atas air. Satu kepuasan yang teramat sangat. Suatu pengalaman yang cukup-cukup manis yang tidak dapat dilupakan.  


Kenangan bersama semua peserta dan fasilitator


- BINA INSAN GURU SIRI 2. 21- 24 MEI 2012-