Sunday, July 31, 2011

PROGRAM PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN DAN QIAMULLAIL 2011


Pada tanggal 29 Julai sehingga 30 Julai 2011, telah berlangsung satu program yang dinamakan "PROGRAM PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN DAN QIAMULLAIL 2011". Program ini diwajibkan kepada pelajar Kafa Ummu Aiman tahun 3, 4 dan 5. manakala bagi pelajar tahun 1 dan 2 penyertaan adalah terbuka. Pendaftaran dibuka pada pukul 4 petang dan bagi pelajar Kafa Senawang, pengangkutan telah disediakan.

Semasa sesi ice breaking

Program ini mendapat sambutan yang baik apabila hampir 80 pelajar menyertainya yang terdiri dari Kafa Sri Pulai dan juga Senawang. Peserta disediakan bilik khas untuk meletakkan beg masing-masing sebelum diberi sedikit jamuan dan taklimat program. Program dimulakan pada pukul 5 petang dengan sesi ice breaking oleh Ustaz Wan Rozaimie Wan Mamat.Setelah itu pelajar bersolat Asar berjemaah. Kemudian diberi makan malam dan melakukan persiapan untuk solat Maghrib. Disusuli pula dengan kuliah maghrib dari Al Fadhil Ustaz Ahmad Majdi bin Sanusi.

Peserta perempuan sedang menjamu selera bersama dalam satu talam

Begitu juga peserta lelaki

Dari kiri: Ustaz Adnan, Ustaz Samsul dan Ustaz Rozaimie sedang menjamu selera.

 Selepas solat Isyak sesi LDK (latihan dalam kumpulan) dimulakan. Peserta diminta berlakon mengikut situasi yang diberi sambil diberi tunjuk ajar oleh fasialitator.

Ustaz Adnan sebagai fasi sedang menerangkan sesuatu kepada peserta

Sesi Muhasabah pula dipipimpin oleh Ustaz Majdi. Ramai peserta menitiskan air mata kerana tersentuh hati dan terharu dengan apa yang disampaikan oleh Ustaz Majdi dan guru-guru lain.
Peserta sedang meniup belon seperti yang diarahkan

Peserta menangis terharu

Setelah itu peserta diberi masa rehat dan tidur sehingga jam 4.30 pagi. Peserta lelaki tidur di Kafa Ummu Aiman, manakala peserta perempuan pula diasingkan tidur di Tadika Ummu Aiman.

Peserta lelaki sedang nyenyak tidur

Ustaz Samsul sedang memimpin alunan zikir

Jam 4.30 pagi peserta dikejutkan dari tidur untuk sesi Qiamullail. Sesi ini dipimpin oleh Ustaz Samsul dengan menunaikan solat sunat tahajjud dan solat sunat hajat sebelum disudahi dengan alunan zikir munajat dan doa.

Gelagat peserta-peserta semasa Qiamullail

Sementara menunggu azan Subuh, ustaz Zakiri dijemput untuk memberi sedikit ucapan sempena hari terakhir beliau berkhidmat di Maahad Ummu Aiman. Ternyata ucapan yang diberi telah menyebabkan anak-anak didiknya terutama pelajar Senawang berasa sebak sehingga menitiskan air mata buat kali kedua.

Ustaz Wan Ruzaha sedang menyampaikan Kuliah Subuh secara santai

Setelah selesai solat Subuh, diadakan pula Kuliah Subuh oleh Ustaz Wan Ruzaha Wan Mamat yang merupakan Pengerusi Maahad Ummu Aiman. Selepas itu,  peserta dihidangkan sarapan pagi sebelum LDK ketiga dijalankan. LDK kali ini meminta peserta menyediakan jadual harian mereka sepanjang bulan Ramadhan Al Mubarak sebelum dibentangkan di hadapan peserta- peserta yang lain.

Majlis penutup peserta dapat melihat tayangan gambar serta video mereka sepanjang perjalanan program bermula dari hari pertama mereka datang sehingga hari terakhir. Disusuli pula selepas itu ucapan penutup Pengarah program, Ustaz Helmi dan Guru besar, Ustazah Wan Rusmayiah. Pelajar dibenarkan pulang tepat jam 10.30 pagi.

Diharapkan dengan adanya program seumpama ini mampu melahirkan pelajar yang mengambil berat tentang ibadat puasa serta dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu dan pengalaman yang mereka pelajari di dalam program ini.



No comments:

Post a Comment